Saturday, 18 August 2012

Taqabbalallu minna wa minkum.

Assalamualaikum semua..

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari).


 Surat Cinta :

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.
Taqabbalallu minna wa minkum. semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalanmu~
 

Friday, 17 August 2012

Indahnya Islam di hari raya.

Assalamualaikum semua..

 Saya nak kongsikan artikel yang baru sahaja sy baca. semoga kita mendapat manfaat dari padanya tentang amalan-amalan yang diajar oleh Rasulullah dalam meraikan kedatangan Syawal.


Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.
 
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat. 
 
Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri. 

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan. 
 
Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

 Makan sebelum solat Aidilfitri.
 
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air. 
 
 Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327. 

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya. 
 
Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
 
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? 
 
Abu Said al-Khudri r.a berkata:
 
“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394. 
 
Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
 
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. 
 
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

 Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959. 

Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
 
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164. 
 
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
 
Untuk membaca dgn lebih lanjut.boleh la melayari laman web : Islam GRID.

Surat Cinta :
Ramadhan dirindu, Syawal Dirai.

Thursday, 16 August 2012

Zakat : Rukun Islam Ke 3.

Assalamualaikum semua.. 

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah at-Taubah, Ayat: 103).
  
Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir. Zakat telah difardukan pada tahun kedua Hijrah dan ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab Suci al-Quran di antaranya firman Allah:

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah, Ayat: 43)


Zakat juga merupakan ibadat material dan penyebab untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya:

Yang bermaksud: Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat.
(Surah al-A'raaf, Ayat: 156).

Begitu juga ia merupakan syarat untuk mendapatkan bantuan daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.
(Surah al-Hajj, Ayat: 40, 41).
Di dalam hadith Bukhari telah dinukilkan sabdaan Bagidna Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang Allah telah kurniakan harta kepadanya dan dia tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat hartanya akan berupa ular yang tidak berambut di kulit kepalanya (kerana bersangatan racun, rambutnya gugur). Di bawah pipi ular itu akan terdapat dua titik (yang menandakan kesangatan racunnya). Ular itu akan membelit pada lehernya. Ular itu akan mematuk pipinya dengan kuat dan akan berkata, “Akulah hartamu, akulah simpananmu.” Selepas itu baginda Rasulullah SAW telah membacakan ayat,

“Dan jangan sesekali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa bakhil itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Da kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” (Ali Imran:180) 
Berdasarkan hadith di atas, dinukilkan salah satu sifat ular di atas adalah bahawa ianya adalah syuja’. Iaitu jantan. Sesetengah ulama’ yang lain mengatakan syuja’ kerana ia boleh berdiri di atas ekornya untuk menyerang. Kepalanya tidak berambut atau tanpa penutup kulit. Maksudnya, bahwa kerana kekuatan racunnya bulu roma kepalanya pun gugur. Sifat ular yang ketiga ialah dekat matanya ada dua titik hitam. Ini pun suatu tanda kekuatan racunnya. Ular jenis ini biasanya hidup di dalam masa yang panjang. Sesetengah ulama telah mengatakan bahawa du titik ini adalah kerana racun seperti dua luka. Sesetengah lagi mengatakan bahawa dua titik ini adalah dua bungkusan yang penuh dengan racun. Sesetengah lagi berkata bahawa ini adalah dua gigi yang beracun.( Sumber : Bala Tidak menunaikan Zakat ).Wallahualam.

SURAT CINTA : 

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Islam dibina di atas lima perkara, iaitu menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan Haji di Baitullah bagi orang yang berkemampuan dan berpuasa pada bulan Ramadan.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim). ‏ 

Wednesday, 15 August 2012

Ramadhan & Syawal.

Assalamualaikum semua.. 

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."


Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya." 

 
Syawal sedang dalam perjalanan dan menghampiri destinasi, Ramadhan mula melangkah untuk meninggalkan kita. terkesankah dihati kita? atau leka dalam kesibukan menyambut syawal? andai ini ramadhan yang terakhir... ~ 
 
SURAT CINTA :
 
Dari Abu Hurairah katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Adakalanya usia bulan 29 hari dan adakalanya pula usianya 30 hari. Kerana itu jika kalian melihat hilal Ramadhan, maka berpuasalah dan jika kalian melihat hilal Syawal, maka berhari rayalah. Dan jika kalian terhalang oleh mendung, maka genapkanlah hingga 30hari." (Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadth Nombor 2105)
 
 


Monday, 13 August 2012

Sinar Islam

Assalamualaikum semua..

masih ingat lagi kawan-kawan sewaktu kita diajar tentang Rukun Iman dan Rukun Islam.bagaimana?boleh review balik? 

5 RUKUN ISLAM

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan solat.
3. Menunaikan zakat.
4. Berpuasa di bulan Ramadhan.
5. Menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu.

6 RUKUN IMAN

1. Beriman dengan Allah subhanahu wa taala.
2. Beriman dengan para malaikat.
3. Beriman dengan kitab-kitab suci.
4. Beriman dengan para Rasul.
5. Beriman dengan Hari Akhirat.
6. Beriman dengan Qada' dan Qadar.

Allah ta’ala berfirman,“Muhammad itu bukanlah seorang ayah dari salah seorang lelaki diantara kalian, akan tetapi dia adalah utusan Allah dan penutup para Nabi.” (QS. Al Ahzab: 40)

Allah ta’ala juga berfirman,

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kalian agama kalian, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku atas kalian dan Aku pun telah redha Islam menjadi agama bagi kalian.” (QS. Al Maa’idah: 3)

Allah ta’ala mewajibkan kepada seluruh umat manusia untuk beragama demi Allah dengan memeluk agama ini. Allah berfirman kepada Rasulullah S.A.W :


“Katakanlah: Wahai umat manusia, sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah bagi kalian semua, Dialah Dzat yang memiliki kekuasaan langit dan bumi, tidak ada sesembahan yang haq selain Dia, Dia lah yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kalian kepada Allah dan Rasul-Nya seorang Nabi yang ummi (buta huruf) yang telah beriman kepada Allah serta kalimat-kalimat-Nya, dan ikutilah dia supaya kalian mendapatkan hidayah.” (QS. Al A’raaf: 158)

Di dalam Shahih Muslim terdapat sebuah hadits yang diriwayatkan dari Abu Hurairah  dari Rasulullah S.A.W. Beliau bersabda yang ertinya, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangannya. Tidaklah ada seorang manusia dari umat ini yang mendengar kenabianku, baik yang beragama Yahudi maupun Nasrani lantas dia meninggal dalam keadaan tidak mau beriman dengan ajaran yang aku bawa melainkan dia pasti termasuk salah seorang penghuni neraka.”

Allah ta’ala berfirman,“Allah benar-benar telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman serta beramal salih diantara kalian untuk menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi sebagaimana orang-orang sebelum mereka telah dijadikan berkuasa di atasnya. Dan Allah pasti akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, sebuah agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka peluk. Dan Allah pasti akan menggantikan rasa takut yang sebelumnya menghinggapi mereka dengan rasa tenteram, mereka menyembah-Ku dan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apapun. Dan barangsiapa yang ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (QS. An Nuur: 55)


Bersyukurlah kita semua dilahirkan dgn nikmat Islam..apa lagi nikmat yang mahu kita nafikan, dalam kita bertatih, masih ada merangkak-rangkak mencari sinar. Jangan Islam hanya Pada Nama. Allahuakbar !!



Surat Cinta :
“Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.” 
(QS. Ali Imran: 19)

Wednesday, 8 August 2012

kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Assalamualaikum semua.. 
Pepatah Melayu ada mengatakan mengatakan, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’ Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.
 
Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.” (Surah Ibrahim, ayat 24-26)
 
 
 
SURAT CINTA :
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tuesday, 7 August 2012

Nikmat Allah.

Assalamualaikum semua.. 

waktu saya belek baju-baju yang ada di dalam almari, saya terus teringat cerita yang saya baca di page Akademi-Al-Quran, tetiba hati  rasa sayu. betapa bersyukurnya saya selama ini belum penah lagi merasa betapa susahnya untuk memiliki sehelai pakaian.tetapi hati terusik bila diimbas kembali, saya juga penah merasai alam persekolahan yang mana saya dapat melihat ada dalam kalangan rakan-rakan yang setiap hari memakai baju lusuh ke sekolah. ketika hari raya tiba, masih ada kanak-kanak seusia saya yang hanya memakai selipar jepun dan baju yang sudah lusuh datang berhari raya.

syawal tiba lagi, bahang mula terasa apabila di sana sini ada sahaja iklan promosi pakaian raya dan segala persiapan raya. kita disini bersuka ria, semuanya mahu baru. tetapi diluar sana ada yang hanya cuma mampu memakai baju dari belas ehsan manusia yang sudi membantu. tidak hanya dilihat padahari raya, ketika berpuasa sahaja kita dapat lihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan apabila juadah berbuka puasa akhirnya dimakan peti sejuk.


Seorang GURU menceritakan pengalamnnya.... " Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur... Saya mengajar sesi petang... Salah seorang murid saya, setiap hari datang lambat ke sekolah... Kasut dan bajunya selalu kotor... Setiap kali saya bertanya kenapa, dia hanya menundukkan kepala, dan berdiam diri

... mukanya sedih... Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat...

Pada mulanya saya hanya memberi nasihat... Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 apa-apa, kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa... Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk, tetapi masih juga datang lambat keesokannya... Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat... Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan.... Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya... Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat...

Suatu hari saya bercadang untuk MENGINTIP ke rumahnya... Setelah mendapatkan alamatnya, tengahari itu, saya meneruskan niat saya... Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah... Keadaan rumahnya sangat daif... Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah... Seorang wanita yang mungkin ibunya, juga kelihatan gelisah...

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu... Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya.. Sampai di depan rumah, baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya, yang terus bergegas memakainya... Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.... Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan... Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata saya yang mula tergenang...

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”... Dia terkejut dan wajahnya berubah....

“Itu abang saya... dia sekolah pagi... Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain... Itu saja baju dan kasut yang ada... Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya..

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

"Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang.... Kalau cikgu nak pukul, serahkan saja punggung kamu.”... Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”
Kejadian itu cukup menginsafkan saya... Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu..


Cuba lihat diri kita, apa yang kita pakai, apa yang kita makan dan lebih dekat..apa yang baru sahaja kita bazirkan....

SURAT CINTA :

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.? (Surah an-Nahl, ayat 18). 
Kekayaan dan kemewahan hidup di dunia adalah sebahagian nikmat daripada sekian nikmat yang dilimpahkan Allah kepada hamba-Nya. Tetapi, bagi orang beriman nikmat paling besar yang diharapkan ialah kemanisan takwa yang membawa kepada kejayaan hidup di akhirat. Orang kaya yang mengharapkan kemanisan nikmat takwa selalu ringan tangan menghulurkan sedekah kepada golongan miskin. Melihat kegembiraan atau membantu menyelesaikan masalah hidup orang miskin melahirkan perasaan nikmat yang tidak terhingga. Orang yang bersedekah secara ikhlas sedar bahawa apa yang dihulurkan itu amatlah sedikit nilai baginya di dunia ini. Sedangkan Allah menyediakan nikmat lebih besar sebagai gantinya.

bagaimana jika kesenangan yang kita nikmati padahari ini lenyap begitu sahaja? adakah kita mahu menjadi manusia yang terus hidup dalam kekenyangan nafsu?Ramadhan bakal mengundur diri dan Syawal sudah memberi salam sedang dalam perjalanan untuk menggantikan Ramadhan,semoga kita terus berusaha merebut nikmatNYA yang berganda-ganda untuk kita sama-sama merasai manisnya nikmat Ramadhan jika kita dapat berkongsi bersama apa yang kita raih. Bumi ni satu je, kita cuma peminjam. jadi apa kata kongsi sama-sama. Bolehkan?  :D 

Sunday, 5 August 2012

Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Assalamualaikum semua..
saya nak kongsikan disini tentang artikel yang baru saja baca dari laman web : JAKIM . ianya menceritakan tentang Nuzul Al-Quran & bagaimana perkaitannya bersama malam Lailatul Qadar. jika berkelapangan. sila lah ke laman web ini untuk membaca dengan lebih lanjut. disini saya kongsikan bersama input yang saya perolehi dari apa yang saya baca. 

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)


Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

ini bukan sepenuhnya dari apa yang saya baca, jika berkelapangan bolehlah melawat ke laman web diatas, tetapi dari apa yang saya baca, terbit rasa sedar betapa agungnya malam Lailatul Qadar ini, kalau dulu waktu kecik-kecik mak cakap malam lailatul Qadar ni malam penuh keajaiban, jadi time tu mungkin mak nak galakkan anak-anak turut sama bersolat dan berdoa. sekarang bila dan besar baru lah sedar betapa sayangnya Allah pada kita, sudahla diberikan pahala berganda2 atas segala amal ibadat yang dilakukan di bulan puasa. ini diberikan pula kita peluang mencari pahala dengan menghayati malam Lailatul Qadar ini. jangan duk busy main mercun je adik-adik :D

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

betapa cantiknya apa yang telah Dia rancang dan jadikan untuk kita semua, dan jika kita menghayatinya Ramadan, al-Quran dan malam Lailatul Qadar adalah gandingan yang mempunyai hubungan sangat rapat. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar, pada Ramadan. Subhannallah. Allahuakbar. :D
 
SURAT CINTA :

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan." (Hadis sahih riwayat Bukhari)