Assalamualaikum semua ..
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Ada beberapa orang bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah kami melihat Tuhan di hari kiamat?" Jawab Nabi: "Adakah kamu ragu menampak matahari yang tidak ditutupi awan?" Jawab mereka: ''Tidak, ya Rasulullah!" Tanya Nabi: "Adakah kamu ragu menampak bulan di malam purnama yang tiada ditutupi awan?" Mereka menjawab: "Tidak, ya Rasulullah!" Nabi berkata: "Sesungguhnya begitulah kamu melihat Tuhan di hari kiamat." Tuhan akan mengumpulkan manusia (di hari kiamat), lalu Dia berfirman: "Siapa yang menyembah sesuatu, hendaklah diikutinya!" Lalu orang yang menyembah matahari, yang menyembah bulan dan yang menyembah berhala mengikuti pujaannya.
Maka tinggallah umat ini (yang menyembah Allah), termasuk orang-orang munafik. Maka datanglah Tuhan kepada mereka dalam rupa yang bukan mereka ketahui, lalu Dia berkata: "Aku Tuhan kamu." Mereka berkata: "Kami berlindung kepada Allah terhadap engkau. Kami akan tetap di sini, sampai Tuhan kami datang. Apabila Dia datang nescaya kami akan mengenalNya." Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka kenal dan berkata: "Aku Tuhan kamu." Mereka menjawab: " Engkau Tuhan kami!" Mereka hendak mengikuti Tuhan. Maka dibentangkan titian melintasi neraka. Rasulullah saw. bersabda: "Akulah orang yang pertama melalui titian itu. Doa Rasul-rasul ketika itu ialah: "Ya Allah, selamatkan, selamatkan!" Pada titian itu ada beberapa kaitan, serupa dengan duri kayu Saadan. Sudah pernahkah kamu melihat duri kayu Saadan itu?" Mereka menjawab: "Sudah, ya Rasulullah!" Kata Nabi: "Sesungguhnya kaitan itu serupa duri kayu Saadan, tetapi ukuran besarnya hanya Allah yang mengetahui. Setiap orang disambarnya menurut amalan masing-masing. Ada yang binasa kerana amalnya dan ada yang terganggu, kemudian selamat.
Setelah Allah selesai mengadili hamba-hambaNya dan hendak mengeluarkan dari neraka siapa yang hendak dikeluarkanNya dari antara orang yang pernah mengucapkan pengakuan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, diperintahkanNya malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dan dapat dikenal dengan bekas Sujud (s olat). Tuhan melarang api neraka memakan (membakar) bekas sujud itu. Lalu disiramkan kepada mereka air yang dinamakan "air kehidupan". Maka tumbuhlah badan mereka bagai bibit di atas sampah bekas banjir." Tinggal lagi seorang yang mukanya menghadap ke neraka dan dia mendoa: "Ya Tuhan! Sesungguhnya sangat menyakitkan aku bau neraka dan nyalanya membakar aku. Sebab itu, palingkanlah muka ku dari neraka!" Orang itu terus mendoa dan Tuhan menjawab: "Boleh jadi jika permintaan engkau itu Aku beri, engkau akan meminta lagi yang lain?" Jawabnya: "Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain." Lalu dipalingkan Tuhan mukanya dari neraka. Sesudah itu dia memohon lagi: "Ya Tuhan ku! Dekatkanlah kiranya aku ke pintu syurga!" Tuhan berkata: "Bukankah engkau telah mengatakan, tidak akan meminta lagi hal yang lain? Ah, anak Adam! Engkau amat penipu!"
Orang itu sentiasa mendoa, lalu Tuhan menjawab: "Boleh jadi jika Aku perkenankan permintaan engkau itu, engkau akan meminta lagi yang lain?" Katanya: "Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain." Dikemukakan Allah perjanjian yang dikehendakiNya, ahawa orang itu tidak akan meminta lagi hal yang lain. Lalu dia, didekatkan Tuhan ke pintu syurga. Setelah dilihatnya apa yang ada dalam syurga, dia diam barang seketika. Sesudah itu dia, memohon lagi: "Ya Tuhan ku! Masukkanlah aku ke dalam syurga!" Tuhan berkata lagi: "Bukankah engkau telah mengakui tidak akan meminta kepada Ku tambahannya? Ah, anak Adam! Engkau amat penipu!" Lalu dia memohon: "Ya Tuhan ku! Janganlah kiranya, Engkau jadikan aku makhluk yang amat malang!" Orang itu sentiasa mendoa, sampai Tuhan gembira. Setelah Tuhan gembira, diizinkannya orang itu masuk ke dalam syurga. Setelah dia masuk syurga, dikatakan kepadanya: "Kemukakanlah keinginanmu selain ini" Lalu dikemukakannya keinginannya. Dikatakan lagi kepadanya: "Kemukakanlah keinginan kamu, selain ini!" Lalu dikemukakannya segala keinginannya sampai habis segala keinginannya. Lalu Tuhan berfirman: "Semua ini untuk engkau dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula."
(H.R. Bukhari)
Perkongsiaan dari : syahirul.com
SURAT CINTA :
Sesungguhnya DIA MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. ALLAHUAKBAR.
No comments:
Post a Comment